Santai di Jeti Nelayan Labuan
Alhamdulillah, hari ini sudah masuk hari keempat Labuan beralih ke Fasa 4 PPN. Sangat bersyukur dengan kebebasan untuk keluar ke sana ke sini walau hanya di dalam pulau saja kerana pada masa ini cuma Labuan saja yang berstatus Fasa 4 PPN. Aku dan sahabat fotografi A Muqtadir dan Ramlen mengambil peluang untuk melepak sambil merehatkan minda dengan menikmati pemandangan indah pada waktu pagi di Jeti Nelayan kampung Tanjung Aru.
Selesai solat subuh di rumah, kami berjanji untuk terus berjumpa di lokasi ini untuk sama-sama mengambil gambar panorama pagi di sini. Pada awalnya, suasana mendung menutupi Gunung Kinabalu yang kebiasaannya kelihatan dari sini sekiranya cuaca cerah dan jarak penglihatan persekitaran yang baik.
Setiba aku di sini, kelihatan seorang lelaki tua sedang duduk berseorang di jeti sambil menikmati pemandangan matahari terbit yang naik dari atas Banjaran Crocker di tanah besar Sabah.
Muqtadir kelihatan sedang mencari sudut-sudut menarik untuk merakamkan suasana matahari terbit dari sini.
Jeti nelayan di kawasan Anjung Ketam berlatarbelakangkan Banjaran Crocker yang jelas kelihatan pada pagi ini.
Nelayan mula keluar mencari rezeki di laut.
Seorang jurufoto dilihat sedang merakamkan panorama indah aktiviti nelayan berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu di kejauhan.
Kelihatan beberapa orang pemancing sedang memancing di kawasan Bagang yang terletak tidak jauh dari sini. Bagang ini dimiliki oleh salah seorang penduduk kampung Tanjung Aru yang menyediakan perkhidmatan tempat memancing bagi peminat aktiviti pancing di sekitar Labuan.
Ramlen sedang memeriksa hasil-hasil gambar yang diperolehi pada pagi ini sambil ditemani seekor burung yang kebetulan lalu di hadapannya.
Sememangkan aku meminati aktiviti sebegini, sambil mencari gambar sambil merehatkan minda bersatu dengan alam yang menjanjikan seribu ketenangan. Terima kasih kepada sahabat-sahabatku yang meluangkan masa hari ini. Santai-santai, menggambar sambil menikmati keindahan alam di bumi tuhan. Sehingga bertemu lagi.
----- Stay safe every one, Insya Allah -----