Solat Jumaat Pertama Selepas PKP di W.P Labuan
Sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini pada 18 Mac yang lalu bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19, tiada sebarang aktiviti keagamaan dibenarkan termasuklah ibadah berjemaah seperti solat Jumaat dan Tarawih. Hari ini adalah hari yang ke-59 Perintah Kawalan Pergerakan. Hari ini juga merupakan hari Jumaat keempat dibulan Ramadhan yang mulia ini. Bermula hari ini masjid, surau jumaat dan surau terpilih di Zon Hijau seluruh Wilayah Persekutuan telah diberi kebenaran untuk menunaikan solat-solat berjemaah dengan mematuhi Garis Panduan Pelaksanaan Solat Jumaat, Solat Berjemaah, Solat Tarawih dan Solat Sunat Aidilfitri ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Alhamdulillah dengan izin Allah, aku berkesempatan menunaikan solat jumaat pertama selepas PKP di Masjid Al-Muttakin Taman IOFC Kerupang II Apartmen W.P Labuan. Di sini aku kongsikan sedikit gambar-gambar pelaksanaan solat Jumaat dan garis panduan yang telah dilaksanakan oleh pihak masjid ini.
Pemeriksaan suhu badan di setiap pintu masuk masjid dan pemakaian penutup hidung dan mulut adalah merupakan SOP yang wajib dipatuhi sebelum jemaah memasuki masjid. Jemaah juga dikehendaki membawa Kad Pengenalan Diri dan merekodkan kehadiran di dalam buku yang telah disediakan oleh pihak masjid.
Jemaah yang berumur 70 tahun ke atas, kanak-kanak di bawah umur 15 tahun dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan kronik tidak dibenarkan untuk hadir menunaikan solat berjemaah.
Jemaah hendaklah berwuduk di rumah masing-masing sebelum hadir ke masjid dan membawa sejadah sendiri. Penggunaan tandas dibenarkan ketika kecemasan sahaja. Jika wuduk terbatal jemaah hendaklah terus pulang.
Jemaah yang dibolehkan hadir untuk solat berjemaah dihadkan antara 3 orang hingga 30 orang yang terdiri daripada pegawai, kakitangan dan AJK serta anak kariah yang berdaftar. Jemaah mengambil kedudukan di tempat yang ditanda di dalam dewan solat.
Jemaah tidak dibenarkan bersalaman dan dilarang berkumpul di dalam atau di luar masjid. Jemaah dikehendaki segera meninggalkan masjid dan terus bersurai setelah selesai melaksanakan solat.